SURVIVALKAH POLITIK MELAYU SELEPAS PRU-13?
>> Sunday, June 9, 2013
Keputusan PRU-13 telahpun diketahui juga dengan pemenangnya. Bagi parti
yang kalah pastinya pahit yang dirasakan kerana sebelum PRU-13 mereka bukan
sahaja yakin menang bahkan berpeluang memperoleh majoriti 2/3.
Hakikatnya keputusan PRU-13 banyak yang perlu dianalisis termasuklah
‘tsunami’ politik kaum Cina yang dilihat sangat mendadak. Semuanya disebabkan
‘kemenangan’ DAP yang berjaya menambah kerusi berbanding rakan dalam Pakatan
Pembangkang seperti PKR dan PAS.
Di pihak BN pula kemenangan bergaya UMNO dan PBB di Sarawak menjelaskan
bagaimana sokongan masyarakat Melayu dan Bumiputera masih setia kepada parti
komponen BN itu. Ini sedikit sebanyak mengimbangi kekalahan komponen BN yang
mewakili kaum Cina seperti MCA, Gerakan dan SUPP di Sarawak.
Menyedari pentingnya analisis PRU-13 bagi mencari punca kemenangan dan
kekalahan, suatu post mortem perlu diadakan. Justeru, beberapa badan Bukan
Kerajaan (NGO’s) telah membuat resolusi bertajuk Resolusi Wacana Post Mortem
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13): Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah. Hasilnya
resolusi ini telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak untuk diambil tindakan bagi menjaga perpaduan dan hak bangsa Melayu.
Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr.
Kamaruddin Kachar berkata, resolusi itu juga menggesa kuasa politik bangsa
Melayu dikekalkan menerusi kerjasama erat parti-parti politik Melayu di negara
ini.
"Kita tidak lagi mahu bangsa Melayu diperkotak-katikkan, bangsa Melayu
mesti tegas, mesti lebih pintar.
"Saya menyeru kerajaan mendengar saranan daripada
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu terutamanya Majlis
Perundingan Melayu (MPM) yang merupakan gabungan 287 NGO Melayu dengan 3.2 juta
keahlian.
"Harapan kita kepada kerajaan adalah laksanakan amanah agar kesannya
sampai ke akar umbi, baik daripada segi kuota bumiputera, bantuan pelajaran dan
juga biasiswa kepada bumiputera.
Penganjuran wacana itu adalah inisiatif Gerakan Kesedaran oleh Persatuan
Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung
(GPMS) bagi membincangkan hala tuju politik untuk kepentingan survival ummah di
Malaysia.
Kerajaan perlu mentadbir negara mengikut semangat Perlembagaan Persekutuan
dan tidak melayan mana-mana tuntutan yang menidakkan hak bumiputera.
"Kita semua tahu DAP telah mengumpulkan sokongan majoriti kaum Cina,
apa yang penting adalah Pas dan UMNO mesti bergabung atau sekurang-kurangnya
bekerjasama termasuk dengan ahli politik Melayu PKR, NGO Melayu akan cuba
membantu usaha ini.
Sementara itu, paling mencuri tumpuan dalam program wacana berkenaan adalah
kemunculan seorang tokoh Orang Asli, Datuk Dr. Hashim Muhammad yang menyeru
Melayu bersatu padu.
"Aku adalah orang Sakai suku Jakun yang pertama menjadi cikgu, aku
masuk Maktab Perguruan Sultan Idris, aku belajar apa yang aku tak tahu cakap,
akhirnya atas kuota Melayu aku dapat buat.
Orang Asli menerima banyak nikmat hasil perjuangan orang Melayu
memerdekakan negara dan mereka perlu kekal bersatu bagi menjaga kepentingan hak
bangsa serta kemakmuran negara.
Manakala, bagi masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak politik Melayu yang
berlangsung pada hari ini banyak memberikan manfaat kepada mereka khususnya
dalam meningkatkan sosioekonomi mereka serta pembangunan di kawasan luar
bandar.

0 comments:
Post a Comment