POLITIK MALAYSIA: YANG BERHORMAT? YANG BERKHIDMAT? YANG BERHIMPUN?
>> Wednesday, June 12, 2013
Apakah politik Malaysia ‘berkempen’ 365 hari setahun di sepanjang 5 tahun
akan datang ini bagi menghadapi PRU-14? Selepas PRU-12 pada 2008 iaitu
‘tsunami’ politik yang menyebabkan Pakatan Pembangkang menempa sejarah menakluk
Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah. Manakala, Kelantan telah sekian lama
diperintah PAS.
PRU-13 telah lebih sebulan berlalu yang menyaksikan BN meneruskan
pemerintahan setelah diberikan mandat oleh rakyat. Namun, masih ada pihak yang
tidak berasa puas hati dan mahu mencabar keputusan rakyat di jalanan mahupun di
mahkamah.
Diketuai oleh Anwar Ibrahim, Pakatan PKR, PAS dan DAP mengadakan
perhimpunan‘haram hitam yang mempertikaikan perjalanan PRU-13. Ketika DAP sudah
membentuk kerajaan dengan melantik semula Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri di
Pulau Pinang, Pakatan Pembangkang yang lain masih berkokok di Stadium Batu
Kawan, Pulau Pinang dengan mendakwa PRU-13 tidak bersih.
Apakah PRU bertukar bersih sekiranya 3P menyapu bersih kerusi Parlimen dan
Dewan Undangan Negeri? Adakah PRU-13 yang didakwa‘hitam menjadi‘putih’apabila
Anwar melangkah ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri? Disebabkan gagal untuk
ubah BN kepada pembangkang dan kegagalan bersihkan Malaysia dari kuasa BN, maka
PRU didakwa tidak adil, tidak bersih.
Sebenarnya, BN juga terkejut dengan keputusan PRU-13 yang lalu terutama di
beberapa kawasan tetapi tidaklah‘melompat ke sana sini dengan mendakwa
kemenangan calon tertentu sebagai satu penipuan. Sebaliknya BN menerima dengan
penuh sabar dan tawaduk.
Sebelum pengumuman calon, ada pemimpin BN yang membayangkan berlaku kejutan
dalam senarai calon. Memang ada kejutan. Keputusannya juga satu kejutan. Pada
peringkat awal, pemimpin begitu yakin dengan calon pilihan mereka tetapi
akhirnya ramai yang tewas. Tidak pasti sama ada ketika mengemukakan calon,
pemimpin parti masing-masing yakin menang atau senarai calon yang diturunkan
sekadar ‘simpanan tetap’ untuk ‘dikeluarkan’ dalam pemilihan parti akan datang.
DAP juga menguasai empat kerusi Parlimen dan 14 DUN, pencapaian yang tidak
pernah berlaku di negeri yang dianggap sebagai‘jantung hati BN dan tiang seri
UMNO. Adakah ini petanda awal Johor juga bakal menjadi seperti Pulau Pinang dan
Selangor? Kemungkinan yang tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.
Persoalannya, siapakah sebenarnya yang mahu dipilih dalam PRU? Wakil rakyat
yang sekadar bergelar ‘Yang Berhormat’ atau ‘Yang Berkhidmat’? Di sesetengah
kawasan, pengundi mungkin tidak peduli lagi ‘Yang Berkhidmat’ kerana segala
keperluan sudah tersedia. Mereka hanya perlu ‘Yang Berhormat’ yang cukuplah
tunjuk muka sekali-sekala, lebih kerap menjelang PRU-13 dan selepas PRU,
hilang.
Ada juga yang menang hanya ghairah ‘turun padang’ untuk berceramah. Masalah
penduduk jatuh nombor dua atau serah kepada orang lain terutama kerajaan yang
memerintah. PRU-13 bukan lagi soal pembangunan dan perkhidmatan yang diberi.
Sudah tidak ada nilai-nilai berterima kasih kepada orang yang memberi
sebaliknya tangan yang memberi itu akan ‘digigit’. Tidak ada lagi konsep orang
berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Perasaan perkauman, fitnah,
maki hamun dan cerita dongeng semasa PRU-13 yang dicetuskan melalui ceramah
atau media sosial sudah meresap atau ‘merasuk’ mereka yang mendengar dan
membacanya. Akhirnya ia menjadi seperti ‘api dalam sekam’.
Sesuatu harus dilakukan supaya keadaan tidak bertambah buruk akibat
provokasi melampau ini. Pada PRU-14, generasi yang sempat merasai suasana
‘tegang, cemas dan susah’ suatu masa dulu dan golongan yang ‘makan garam
terlebih dahulu’ semakin kurang. Perlahan-lahan peranan mereka akan diambil
alih generasi yang lahir ‘di atas dulang yang serba-serbi sudah tersedia’ di
depan mata. Mereka tidak mahu lagi menoleh sejarah silam yang ‘sukar dan
susah’. Mereka ghairah mahu mencuba sesuatu yang baru. Tetapi sejauh mana
kesediaan mereka untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang
lain? Malang bagi orang Melayu yang sekadar mahu berubah tetapi keupayaan
mereka masih terbatas dalam bidang ekonomi atau ilmu.
Kepada orang Melayu, cerdiklah ketika berpolitik. Jangan sampai menang
sorak kampung tergadai; kalah jadi abu, menang jadi arang. Jangan dilupakan
kisah teladan masa dulu-dulu termasuklah Pak Pandir, Pak Kaduk dan Lebai
Malang.

0 comments:
Post a Comment